Kebebasan Bersuara vs Kebebasan Berpolitik Kebebasan_bersuara_di_Malaysia

Dalam artikel Kebebasan Berpolitik Menurut Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Aplikasinya[13], penulisnya iaitu, Faridah Jalil pernah menyentuh tentang isu-isu mengenai kebebasan bersuara dalam konteks Malaysia. Isu yang dinyatakan adalah sekatan mengenai hak untuk bersuara di Malaysia dalam perkara-perkara tertentu seperti hak keistimewaan, kedudukan orang Melayu, kedaulatan serta kedudukan Bahasa Melayu. Perkara-perkara sebegini adalah tidak boleh dipersoalkan, hanyalah cara pelaksaaannya boleh dibincangkan.

Jadi, jikalau ahli-ahli Parlimen tidak dibenarkan memberi pandangan atau cadangan mereka mengenai perkara-perkara yang dilabelkan sebagai sensitif ini semasa dalam persidangan Parlimen, maka fungsi serta bidang kuasa mereka untuk melaksanakan atau mengubah polisi negara adalah sukar dan kurang berkesan. Negara sukar untuk maju kerana masyarakat akan berpendapat bahawa kerajaan adalah tidak sanggup untuk menerima kritikan serta ideologi yang berbeza dalam pelaksanaan dasar kerajaannya.

Kebebasan bersuara selalu berkait rapat dengan kebebasan berpolitik. Isu yang diketengah di sini adalah mengenai sekatan-sekatan kerajaan terhadap hak bersuara melalui medium politik. Contohnya, dulu Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang menyatakan penahanan berlaku apabila didapati seseorang itu boleh memberi ancaman kepada keselamatan serta ketenteraman negara. Namun begitu, kerajaan pada masa itu cenderung untuk mengambil tindakan terhadap ahli-ahli politik yang tidak bersefahaman ideologi dengan kerajaan yang memerintah pada masa itu. Manakala mereka yang bersefahaman dengan polisi kerajaan tidak diambil tindakan langsung oleh pihak kerajaan. Keadaan yang jelas berat sebelah ini telah memberikan tamparan yang hebat terhadap perkembangan kebebasan untuk bersuara di Malaysia.

Jadi, adalah jelas nampaknya kerajaan yang memerintah tidak sanggup memberi kebebasan bersuara yang terlalu luas kepada masyarakat Malaysia pada zaman itu.